Kota Kinabalu: Tindakan prihatin rakan serumah kongsi berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang terperangkap di dalam bilik air dalam kejadian di Bandaran Berjaya, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 77 tahun itu dikatakan tidak keluar daripada tandas selepas lebih tiga jam.
Pasukan bomba membawa mangsa keluar menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada ambulans dari HQE 1 Kota Kinabalu. Pix ihsan Bomba
Bimbang akan keselamatan lelaki terbabit, rakan serumah terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan segera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 petang.
Mangsa diserahkan kepada pihak Ambulans HQEI untuk tindakan selanjutnya selepas berjaya dikeluarkan dari bilik air. Pix ihsan Bomba
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 8 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati masih berada di dalam bilik air dan seterusnya pasukan bomba cuba membuka pintu dengan menolak kuat pintu tandas sehingga terbuka.
“Sebaik berjaya masuk, mangsa didapati berada dalam sedar tetapi tidak berdaya terbaring di atas mangkuk tandas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa terus dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak Ambulans daripada Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 5.27 petang.
-Deasoka