Pasangan kekasih antara 3 ditahan bersama 2.5 kilogram ganja

Pasangan kekasih antara 3 ditahan bersama 2.5 kilogram ganja

Kota Kinabalu: Tiga individu termasuk sepasang kekasih ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Hasil dua tangkapan berkenaan, polis turut berjaya merampas kira-kira 2.5 kilogram dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan hasi risikan dan intipan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, serbuan pertama dijalankan pada jam 7.30 malam di Taman Suria Kobusak, di sini, dan menahan seorang wanita berusia 20 tahun.

“Hasil pemeriksaan, suspek ditahan bersama 1,711 gram dadah jenis ganja yang disembunyikan di dalam rumah.

“Polis turut merampas telefon bimbit dan komputer riba untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pasukan operasi turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pembungkusan dadah.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, serbuan kedua dijalankan pada jam 11.35 malam di KK Times Square dan menahan sepasang kekasih berusia 21 dan 22 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui beberapa ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 872.16 gram dan kedua-dua suspek juga didapati positif dadah.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mula terbabit dalam sindiket pengedaran ganja sejak pandemik Covid-19 untuk mendapatkan duit dengan cara mudah.

“Semua bekalan ganja berkenaan diperolehi melalui perkhidmatan kurier dari semenanjung Malaysia sebelum diedarkan di sekitar bandaraya ini,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, semua suspek juga didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM6,240 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,353 hasil daripada serbuan kedua-dua kes.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6, Seksyen 15(1) (a) dan Seksyen 7 akta yang sama. Semua ketiga-tiga suspek juga direman bermula hari ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|