Tangan melecur, rumah terbakar

Tangan melecur, rumah terbakar

Penampang: Seorang lelaki berusia 51 tahun melecur di bahagian tangan kanan selepas rumahnya di Jalan Gupoh, berhampiran Bangunan ITCC, di sini, terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bagaimanapun terselamat selepas berjaya keluar daripada rumah yang terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Lintas dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal.

“Operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 4.02 petang dan terdapat seorang mangsa dilaporkan yang mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan kanan selepas terkena bahang api kebakaran.

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 5.12 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|