Lahad Datu: Sebanyak 7,089 minyak masak yang dipercayai cuba diseludup berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Tandu, Felda Sahabat, di sini, semalam.
Operasi ‘Op Benteng Covid-19’ yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan serbuan pertama di sebuah pondok di hadapan jeti panjang Kampung Tandu, pada jam 3.45 petang.
Pondok yang dijadikan tempat penyimpanan minyak masak bersubsidi diserbu anggota PGA Lahad Datu di Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu. Gambar ihsan PGA Sabah
Hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya menemui 2839 paket minyak masak yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, serbuan dijalankan atas maklumat yang diterima daripada orang awam.
Rumah dua tingkat yang dijadikan tempat penyimpanan minyak masak bersubsidi diserbu anggota PGA Lahad Datu di Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu. Gambar ihsan PGA Sabah
Katanya, semua minyak masak berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
“Lantaran daripada kejayaan itu, PGA meneruskan serbuan ke lokasi kedua di sebuah rumah dua tingkat di kampung berkenaan pada jam 4 petang.
Minyak masak bersubsidi yang cuba diseludup keluar. Gambar ihsan PGA Sabah
“Dalam serbuan ini, pasukan operasi merampas 4250 paket minyak masak dan menahan seorang lelaki berusia 63 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Rani berkata, hasil daripada rampasan di kedua-dua lokasi, PGA merampas keseluruhan 7,089 paket minyak masak yang dianggarkan bernilai RM17,514 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.
-Deasoka