Maritim Malaysia tahan 3 lelaki Palauh, cuba seludup keluar minyak masak

Maritim Malaysia tahan 3 lelaki Palauh, cuba seludup keluar minyak masak

Semporna: Tiga lelaki suku Palauh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan cuba menyeludup keluar 1,156 peket minyak masak bersubsidi di perairan Kampung Bangau – Bangau, di sini, semalam.

Ketiga-ketiga suspek ditahan susulan maklumat dan risikan dari Unit Perisikan Maritim Malaysia berkaitan pergerakan tiga bot mencurigakan berhampiran kelong ikan di kedudukan sekitar 0.5 batu nautika timur kampung berkenaan, jam 5.30 pagi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur diatur gerak ke lokasi berkenaan.

Katanya, ketika menghampiri lokasi, kelihatan tiga lelaki sedang melakukan aktiviti memindahkan barangan disyaki minyak masak bersubsidi daripada sebuah kelong ikan ke dalam tiga bot.

“Menyedari kehadiran bot ronda, salah seorang suspek bertindak nekad melarikan diri dengan terjun ke laut lalu berenang ke arah daratan dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kelong ikan dan bot suspek menemui 1,156 peket minyak masak bersubdisi dengan anggaran nilai RM2,900 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, ketiga-tiga suspek berusia 16 hingga 30 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri (secara lisan mengaku suku Palauh) selain mengaku kali pertama membawa barang kawalan berkenaan.

“Semua minyak masak dan bot serta ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Zon Maritim Semporna juga akan mengesan dan mengenal pasti serta memburu suspek yang melarikan diri itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1958/63.

Sementara itu, Norrimi berkata, pihaknya terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot sport’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara untuk membanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui jalan laut.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782618 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|