Tampil hulur sumbangan kepada mangsa banjir

Tampil hulur sumbangan kepada mangsa banjir

Kota Kinabalu: Pelbagai pihak terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dalam usaha meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir baru-baru ini.

Tampil menyalurkan bantuan ialah UPKO Sepanggar yang menyampaikan sumbangan kepada tiga perkampungan iaitu Kampung Labak, Kampung Sulim dan Kampung Kapilid, Kinarut, di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Datuk Wong Thien Fook berkata, antara objektif program berkenaan adalah bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa dalam kejadian bencana kali ini.

Katanya, program ini dapat dijayakan dengan kerjasama dan sumbangan daripada Maybank Consumer Banking Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mido Marketing Sdn Bhd, Yu Seng Wholesales Sdn Bhd serta beberapa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Inanam.

“Tentunya sumbangan ini tidak mampu menyelesaikan masalah tetapi diharapkan dapat meringankan beban semasa yang ditanggung mereka.

“Kita juga amat gembira dengan keprihatinan ramai pihak yang tampil memberi sumbangan, diharap usaha murni ini akan berterusan dalam membawa aspirasi UPKO Sepanggar untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Thien Fook berkata, sebelum ini kebanyakan sumbangan lebih terarah kepada penduduk di Kampung Sugud, Penampang.

Namun katanya, sebaik menerima maklumat mengenai keadaan di tiga kampung ini, usaha mengumpul dana dan sumbangan terus dijalankan dalam tempoh singkat.

Katanya, ia terbukti mendapat perhatian ramai pihak yang menyokong usaha kami untuk direalisasikan seperti hari ini.

Sementara itu, sumbangan berkenaan disampaikan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di kediaman Ketua Bahagian UPKO Papar, Datuk Gilbert Syam.

Antara sumbangan yang disampaikan adalah beras, tilam, bantal, selimut, tuala mandi, mi kering dan peralatan dapur yang diserahkan kepada Ketua Bahagian UPKO Papar, Datuk Gilbert Syam yang mewakili tiga kampung berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|