Lelaki disyaki pengedar dadah diberkas PGA

Lelaki disyaki pengedar dadah diberkas PGA

Lahad Datu: Seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam Op Benteng yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan ladang sawit berhampiran Ladang Sawit Zhen Dong, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 3 petang itu, lelaki berusia 25 tahun terbabit ditahan bersama 12 paket ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, sebelum ditahan, suspek dilihat menunggang motosikal bersama seorang lagi lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik ditahan, pembonceng motosikal terbabit terus melarikan diri ke dalam ladang sawit sebelum gagal dikesan.

“Pasukan operasi terus memperkenalkan diri sebelum menjalankan pemeriksaan terhadap badan dan beg sandang yang dibawa suspek.

“Pemeriksaan berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 4.21 gram yang dianggarkan bernilai RM400 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek dan motosikal serta dadah yang dirampas kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|