PGA bongkar kegiatan tebang kayu bakau haram

PGA bongkar kegiatan tebang kayu bakau haram

Kota Kinabalu: Kegiatan penebangan kayu secara haram terbongkar apabila 200 batang kayu bakau dirampas dalam Ops Bersepadu Khazanah di Hutan Simpan Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, kelmarin.

Semua kayu itu ditemui selepas pasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran dan Jabatan Perhutanan Sabah, melakukan pemeriksaan hasil daripada risikan dan maklumat awam, jam 2.33 petang.

Operasi Bersepadu itu turut disertai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Taman – Taman Sabah (TTS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejayaan ini hasil kerjasama daripada semua jabatan termasuk Jabatan Perhutanan Sabah.

Katanya, ketika melakukan rondaan pemantuan di kawasan hutan itu menemui longgokan kayu bakau berhampiran sempadan hutan simpan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 200 batang kayu ditebang secara haram.

“Semua kayu bakau itu kemudian disita untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua kayu bakau ini dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Tiada tangkapan dilakukan dan semua kayu bakau itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|