Sabah masih kuatkuasa larangan rentas daerah

Sabah masih kuatkuasa larangan rentas daerah

Kudat: Kerajaan negeri masih mengekalkan larangan rentas daerah yang dilaksanakan di seluruh negeri ketika ini berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berikutan itu sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan di semua daerah akan terus dikuatkuasakan.

“Kita masih tidak membenarkan rentas daerah, jadi rakyat kena patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ini,” katanya ditemui media ketika lawatan kerja ke daerah ini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan Pusat mengumumkan individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan merentas daerah untuk tujuan tertentu khususnya di negeri yang berada dalam fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hajiji turut menasihati rakyat negeri ini supaya terus patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 termasuk larangan mengadakan keramaian.

Katanya, peningkatan mendadak kes kebelakangan ini perlu dijadikan peringatan kepada semua agar sentiasa mengamalkan SOP selain memastikan mendapat vaksin lengkap.

“Ini cabaran yang kita hadapi sekarang. Antara cara melawannya ialah melalui vaksinasi dan memastikan SOP dipatuhi sepanjang masa.

“Jangan buat keramaian seperti kenduri. Ini untuk melandaikan jangkitan kerana kita bimbang sekarang peningkatan kes Covid-19 tinggi akhir-akhir ini.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tapi masih lagi tinggi kes,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah dijangka menerima 200,000 daripada 1.8 juta dos vaksin CanSino dos tunggal pada minggu depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|