Sabah catat kadar pengangguran 8.9 peratus

Sabah catat kadar pengangguran 8.9 peratus

Kota Kinabalu: Kadar pengangguran di Sabah berada pada paras tinggi sehingga 8.9 peratus pada separuh pertama tahun ini dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) mencapai 67.5 peratus.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah, Zainol Jamil, bagaimanapun berkata kadar pengangguran di negeri ini menunjukkan sedikit penurunan pada suku kedua tahun ini kepada 8.7 peratus.

Katanya, pada tahun lalu kadar pengangguran di Sabah berada pada paras 8.0 peratus dengan KPTB sebanyak 70 peratus atau 1.87 juta orang penduduk yang bekerja di negeri ini.

“Penengah gaji dan upah bulanan di Sabah pula menunjukkan penurunan 13.3 peratus kepada RM1,716 pada tahun lalu berbanding RM1,980 pada 2019.

“Purata gaji dan upah bulanan juga menurun 5.6 peratus kepada RM2,678 pada tahun lalu berbanding RM2,836 pada 2019,” katanya pada sidang media Laporan Sosioekonomi Sabah 2020 secara dalam talian, semalam.

Sementara itu, katanya golongan siswazah wanita di Sabah mencatat kadar pengangguran tertinggi pada tahun lalu dengan 10.6 peratus, manakala 8.0 peratus bagi siswazah lelaki.

Jumlah siswazah di Sabah pula, meningkat 16.5 peratus kepada 382,800 orang pada tahun lalu berbanding 328,500 orang pada 2019.

Dalam pada itu, Zainol berkata statistik pada tahun lalu menunjukkan anggaran penduduk di Sabah mencapai 3.88 juta orang.

“Peratusan umur muda menurun kepada 23.1 peratus pada tahun lalu berbanding 23.4 peratus pada 2019, manakala peratus penduduk kumpulan umur bekerja meningkat kepada 73.3 peratus pada tahun lalu beebanding 73.2 peratus pada 2019.

“Penduduk dalam kumpulan umur tua juga meningkat kepada 3.6 peratus pada tahun lalu berbanding 3.4 peratus pada 2019,” katanya.

Katanya, jangkaan hayat bagi penduduk lelaki dan perempuan yang lahir pada tahun 2020 di Sabah pula masing-masing dijangka hidup sehingga 72.6 tahun dan 76.5 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|