Lima ‘pengebom’ ikan ditahan

Lima ‘pengebom’ ikan ditahan

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan lima lelaki dan merampas dua bot selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di selatan Pulau Mengalum, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, PPM Kota Kinabalu turut merampas beberapa peralatan dipercayai untuk kegunaan membuat bom ikan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, ketika menjalankan rondaan di kawasan itu telah mengesan dua bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua bot nelayan itu mendapati beberapa peralatan disyaki digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan dan juga pelbagai jenis ikan ditemui.

“Turut ditahan seramai lima lelaki berusia 21 hingga 52 tahun dan beberapa peralatan mengebom ikan iaitu detonator baja ammonium nitrate, hos, komproser, alat menyelam dan jaring ikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 60 kilogram yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM67,300 dan semua tangkapan serta rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

“PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|