Covid-19 Sabah: Majlis keagamaan cetus Kluster Batu Linting di Kuala Penyu

Covid-19 Sabah: Majlis keagamaan cetus Kluster Batu Linting di Kuala Penyu

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 tercetus disebabkan penganjuran majlis keagamaan dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kluster Batu Linting di Kuala Penyu itu dikesan selelas seorang wanita didapati positif Covid-19 ketika saringan bergejala di Hospital Kuala Penyu, baru-baru ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata saringan kontak yang dijalankan selepas itu menunjukkan wujud pertambahan kes positif.

“Ia susulan saringan kontak rapat dan kontak sosial yang berkait rapat dengan majlis keagamaan yang diadakan di rumah kes indeks pada 31 Julai lalu.

“Daripada 45 sampel yang diambil, terdapat 29 kes positif termasuk lapan kes baharu pada hari ini yang dikesan di Kampung Batu Linting, Kampung Mansud, Kampung Bundu dan Kampung Kupang,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Kuala Penyu hari ini merekodkan peningkatan 15 kes baharu dengan lapan daripadanya disumbangkan Kluster Batu Linting.

Secara keseluruhan, sebanyak 91 kes direkod membabitkan saringan kluster di Sabah pada hari ini dengan Kluster Tembidong-Bidong di Telupid mencatat jumlah tertinggi dengan 32 kes.

Ia kemudian disusuli Kluster Gunsapau di Ranau dengan 15 kes baharu; Kluster Batu 27, Sook di Keningau (11 kes) serta masing-masing lapan kes di Kluster Jalan Penampang, Penampang dan Kluster Batu Linting, Kuala Penyu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|