Covid-19 Sabah: 28 kes kematian hari ini

Covid-19 Sabah: 28 kes kematian hari ini

Kota Kinabalu: Sebanyak 28 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, rekod tertinggi pernah dilaporkan sejak Januari lalu.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata lapan kes dilaporkan di Kota Kinabalu, manakala sebanyak enam kes kematian dilaporkan di Tawau.

“Empat kes lagi di Tuaran, tiga kes di Sandakan, dua kes di Kuala Penyu serta masing-masing satu kes di Putatan, Keningau, Sipitang, Penampang dan Beluran,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,052 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif di Sabah pada hari ini meningkat kepada enam angka dengan 100,031 kes.

Sementara itu, katanya seramai 628 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini selepas disahkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 85,337 orang.

“Seramai 4,899 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,104 orang di hospital, manakala 3,732 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, seramai 57 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara dan enam orang lagi di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit dalam ICU pula seramai 151 orang dan 58 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kadar penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di Sabah kini mencapai 67.16 peratus daripada 7,286 unit katil yang disediakan di hospital dan PKRC seluruh negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|