Situasi PPV Dewan Masyarakat Tawau terkawal

Situasi PPV Dewan Masyarakat Tawau terkawal

Tawau: Rakaman video yang tular membabitkan kesesakan orang ramai berkumpul di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini sejak 10 Ogos lalu disahkan berlaku di Dewan Masyarakat Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, rakaman berkenaan memaparkan situasi orang ramai berasak-asak tanpa penjarakan fizikal di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkenaan.

Katanya, kejadian berpunca dari orang ramai yang berebut untuk mendapatkan nombor giliran di kaunter pendaftaran PPV Dewan Masyarakat Tawau.

“Kesesakan itu ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang hujan lebat ketika itu sehingga memaksa orang ramai berasak-asak masuk ke dewan berkenaan.

“Bagi mengawal situasi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengarahkan Pasukan Pematuhan, Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Balai Polis Bergerak ke PPV Dewan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, ia bagi mengawal keadaan dan memastikan orang ramai mematuhi semula prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pasukan polis turut melakukan pemantauan, hebahan dan rondaan secara berkala dijalankan secara berterusan di PPV berkenaan.

“Kita memuji kesedaran tinggi masyarakat Tawau yang mulai memahami kepentingan bagi mengambil vaksinasi COVID-19,”

“Walaupun begitu, orang ramai juga dinasihatkan supaya bersabar ketika menunggu giliran dan mengikuti arahan petugas PPV,”
katanya.

Peter berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi SOP secara total bagi melancarkan program vaksinasi dan sekaligus mengelakkan penularan COVID-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|