Covid-19 Sabah: Kes baharu diakui tinggi, namun masih terkawal

Covid-19 Sabah: Kes baharu diakui tinggi, namun masih terkawal

Kota Kinabalu: Jangkitan baharu virus Covid-19 di Sabah hari ini yang mencatat 2,052 kes diakui berada pada tahap yang sangat tinggi, namun kadar penularan di negeri ini masih pada tahap yang terkawal.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menjelaskan situasi itu perlu dilihat mengikut nisbah penduduk berbanding jumlah jangkitan semata-mata.

Katanya, jumlah kes di negeri ini juga perlu dilihat secara perbandingan dengan negeri lain yang pada hari ini memperlihatkan hampir semua negeri mencatat kenaikan kes dengan rekod baharu 21,668 kes di seluruh negara.

Hakikatnya, beliau berkata seluruh negara kini sedang berdepan dengan gelombang baharu jangkitan Covid-19 dengan varian yang lebih merbahaya dan cepat merebak.

“Hari ini, Sabah mencatatkan angka tertinggi kes Covid-19, iaitu 2,052. Mungkin ada yang mengatakan kita sudah gagal membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

“Kalau sekadar melihat angka semata-mata mungkin kesimpulan itu ada asasnya. Jumlah 2,052 adalah angka yang amat menggerunkan. Memang diakui ini antara angka tertinggi di kalangan negeri di Malaysia dengan Sabah nombor empat tertinggi.

“Namun, mari kita beralih kepada kiraan kadar jangkitan mengikut nisbah jumlah penduduk. Barangkali ini kaedah kiraan yang lebih tepat untuk menentukan sama ada tinggi atau rendahnya tahap penularan dan jangkitan di kalangan penduduk,” katanya.

Katanya, kadar jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk di negeri seluruh Malaysia berdasarkan maklumat kes Covid-19 pada hari ini menunjukkan Selangor mencatat nisbah sebanyak 96 kes, diikuti Kuala Lumpur (137 kes), Johor (45 kes), Sabah (52 kes), Sarawak (43 kes) dan Negeri Sembilan (79 kes).

Seterusnya beliau berkata Kedah mencatat 110 kes, diikuti Pulau Pinang (69 kes), Kelantan (50 kes), Perak (37 kes), Melaka (52 kes), Pahang (37 kes), Terengganu (47 kes), Labuan (11 kes), Putrajaya (49 kes) dan Perlis (9 kes).

Masidi berkata, jumlah kes baharu di Sabah hari ini (2,052) lebih tinggi daripada Negeri Sembilan (899), Pulau Pinang (1,299) dan hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding Melaka.

Bagaimanapun, katanya kadar atau nisbah penularan Covid-19 di Sabah lebih rendah berbanding Pulau Pinang (52-69), Negeri Sembilan (52-79), sama dengan Melaka (52-52) dan hampir sama dengan Kelantan (52-50).

Katanya, nisbah itu menunjukkan jangkitan di Sabah masih terkawal walaupun kes di negeri ini lebih dua kali ganda lebih tinggi berbanding Kelantan dan lebih separuh lebih rendah berbanding Kedah (52-110), meskipun kes di Kedah cuma 91 lebih tinggi daripada Sabah.

“Kesimpulannya, kes di Sabah amat tinggi tetapi kadar penularan (infectivity rate) masih terkawal. Sama-sama kita jaga diri dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kita memperolehi vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|