Beluran: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengajak semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama supaya bersama-sama mengibarkan jalur gemilang sempena bulan kemerdekaan ini.
Kibaran jalur gemilang itu boleh dilakukan bermula dari rumah sehinggalah premis-premis pejabat dan perniagaan bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian, jalur gemilang perlu dikibarkan sebagai menghargai perjuangan dan solidariti para perajurit negara.
Katanya, pejuang negara berkorban jiwa dan raga semata-mata untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah sebelum ini.
“Tanpa pengorbanan dan perjuangan para perajurit terdahulu, sudah tentu kita tidak akan dapat menikmati hidup aman damai seperti yang kita kecapi pada hari ini.
“Kita mengecapi nikmat keamanan dan keharmonian pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan kita yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan kempen kibar jalur gemilang di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini, hari ini.
Jamaluddin berkata, kibaran jalur gemilang juga menunjukkan semangat taat setia dan patriotisme kita yang tidak berbelah kepada negara kita yang tercinta ini.
Katanya, semangat ini perlu dizahirkan sebagai tanda sokongan kita kepada kepimpinan negara dan barisan hadapan kita yang sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa.
“Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita perlu bersatu padu dan bersama-sama dengan barisan kepimpinan negara memerangi pandemik ini.
“Kita menterjemahkan solidariti dengan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Jamaluddin berkata, ia termasuk sentiasa menjaga jarak, menjaga kebersihan diri, memakai alat pelitup muka dan tidak mengunjungi tempat-tempat sesak.
“Kejayaan negara dalam memerangi wabak covid-19 ini, banyak bergantung kepada sokongan dan kerjasama rakyat secara keseluruhannya.
“Tanpa sokongan dan kerjasama padu rakyat secara menyeluruh amatlah sukar bagi pihak kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan usaha untuk memerangi wabak ini,” katanya.
Mengulas mengenai program, hari ini, Jamaluddin berkata, ESSCOM dengan kerjasama Batalion 20, Pasukan Gerakan Am (PGA), Beluran mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen kibar jalur gemilang di peringkat Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP), Sapi Nangoh.
Pada program berkenaan, Jamaluddin turut mengedarkan bendera tangan kepada kenderaan yang lalu lalang di kawasan berkenaan.
-Deasoka