Pemasangan VSAT bantu tingkat capaian internet luar bandar Sabah

Pemasangan VSAT bantu tingkat capaian internet luar bandar Sabah

Kudat: Sebanyak 50 lokasi di seluruh negeri sudah dikenal pasti untuk pemasangan peralatan Very Small Aperture Terminal (VSAT) ConnectMeNow untuk meningkatkan capaian internet di luar Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) itu akan memastikan masalah capaian internet yang menjejaskan jaringan digital di luar bandar dapat diatasi.

“VSAT ialah sebuah stesen bersaiz kecil yang digunakan untuk memancar dan menerima data, suara dan isyarat video melalui jaringan komunikasi satelit,” katanya pada pelancaran program itu, di sini, hari ini.

Hajiji dalam rangka lawatan kerja sehari di Kudat hari ini dengan turut disertai Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Mohd Ariffin Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariiffin dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmy Yahya.

Pada program itu, Hajiji turut menyerahkan tujuh baucer untuk pemasangan tujuh VSAT ConnectMeNow kepada Pegawai Daerah Kudat, Bakri Nanun.

Peralatan itu akan dipasang di Kampung Andap, Kampung Popot, Kampung Bak Bak, Kampung Bingolon Laut, Kampung Gumandong, Kampung Rampai dan Hutan Simpan Loro.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri selaku agensi pelaksana sudah memasang lima peralatan seumpama itu untuk percubaan di Ranau, Tambunan, Pitas, Papar dan di Institut Latihan Penyelidikan dan Teknologi (ILPT) Papar.

Hajiji berkata, kementerian berkenaan juga akan memasang 300 lagi kemudahan VSAT sejajar dengan pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Setakat ini sebanyak 138 lokasi atau tapak sudah dipasang dengan peralatan itu atas inisiatif SKMM selain bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia memasang peralatan sama di 59 sekolah yang dikenal pasti tiada liputan internet,” katanya.

Sempena majlis di Kudat hari ini, Hajiji turut menandatangani plak program JENDELA bagi menandakan pelancaran di peringkat negeri.

Katanya, program JENDELA diwujudkan bagi memenuhi keperluan untuk menaik taraf kualiti dan liputan jalur lebar, mengurangkan harga jalur lebar dan menyediakan akses kepada semua anggota masyarakat.

“Infrastruktur komunikasi terutama jaringan fiber diperlukan untuk menyokong agenda ekonomi digital dan membolehkan masyarakat mengambil peluang daripada kewujudan inovasi dan teknologi baharu,” katanya.

Katanya, Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.5 billion untuk melaksanakan program JENDELA yang disasar untuk menyokong pelebaran liputan internet 4G ke tahap 90 peratus menjelang 2023.

Sehingga Mei tahun ini, katanya sebanyak 51 menara telekomunikasi baharu sudah dibina, manakala 483 lagi sedang dalam pembinaan.

Pada masa sama katanya, sebanyak 1,729 menara sedia ada dinaik taraf daripada 3G ke 4G, manakala baki 1,648 menara lagi masih dalam kerja menaik taraf liputan internet.

Bagi daerah Kudat saja, katanya sebanyak lapan menara telekomunikasi baharu sudah disiapkan dan beroperasi di Kampung Kubatang, Kampung Lodung, Kampung Indarason Laut, Kampung Rondomon, Kampung Membatu, Kampung Inukiran, Kampung Panikuan dan Kampung Toporoi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|