513 pelajar dapat bantuan komputer riba di Kudat

513 pelajar dapat bantuan komputer riba di Kudat

Kudat: Seramai 513 pelajar di daerah ini menerima bantuan komputer riba disumbangkan kerajaan negeri bagi membantu mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Peralatan berkenaan diserahkan sempena pelancaran program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Dr Kassim Hussein menerima secara simbolik komputer riba terbabit bagi pihak semua penerima di Sabah, manakala Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Kusdi Ribut menerima bagi pihak pelajar yang layak di daerah ini.

Secara keseluruhan, kerajaan negeri menyerahkan 10,000 unit komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia (STPM) and Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sabah pada tahun ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta untuk melaksanakan fasa pertama program itu pada tahun ini.

Katanya, program itu dilaksanakan Menteri Tugas-Tugas Khas negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah yang bertanggungjawab mengenal pasti penerima berkelayakan dari sekolah menengah di seluruh Sabah.

“Seramai 9,842 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta 158 pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dipilih menerima bantuan ini.

“Komputer riba pula dibekalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah melalui Sabah Net untuk tempoh tiga bulan bermula 19 Julai lalu,” katanya.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan komputer riba kepada calon SPM dan STPM bukan saja untuk membantu mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tetapi juga untuk digunakan apabila melanjutkan pengajian di institut pendidikan tinggi.

Katanya, program BAIK itu juga disokong perkhidmatan VSAT ConnectMeNow dan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk liputan internet.

Hajiji turut menyerahkan sendiri komputer riba kepada seorang pelajar SMK Kudat, Azman Sumar, 19 yang akan menduduki STPM tahun ini di Kampung Landung Ayang, di sini.

Ketua Menteri turut menyerahkan replika cek bernilai RM144,000 kepada 72 pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan STPM pada tahun lalu dengan setiap pelajar akan menerima RM2,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|