Covid-19 Sabah: Kes cecah 2,052, jangkitan tempat kerja punca lonjakan

Covid-19 Sabah: Kes cecah 2,052, jangkitan tempat kerja punca lonjakan

Kota Kinabalu: Sabah hari ini merekodkan 2,052 kes baharu Covid-19 menjadikannya yang tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata lonjakan kes hari ini berpunca daripada penularan di dua tempat kerja yang dilaporkan di Kota Kinabalu.

Katanya, jangkitan itu yang membabitkan warga tempatan dan asing dari Filipina serta China menyebabkan Kota Kinabalu mencatat peningkatan mendadak kepada 635 kes hari ini berbanding 263 kes semalam.

“Jangkitan virus Covid-19 di sebuah pelantar minyak yang membabitkan seramai 209 pekerja dan ditambah pula dengan 109 pekerja tapak binaan Hyatt Centric berhadapan Suria Sabah di Kota Kinabalu menyebabkan kes melonjak lagi hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beberapa daerah lain juga mengalami penambahan kes baharu yang tinggi iaitu Tuaran 126 berbanding 83 kes semalam, Tawau 178 (137), Beaufort 86 (40), Kota Belud 84 (49), Lahad Datu 50 (23), Ranau 44 (14), Telupid 77 (23), Sipitang 46 (29) dan Tongod 21 (9).

Masidi berkata, daripada 2,052 kes baharu hari ini sebanyak 914 kes atau 44.5 peratus adalah membabitkan kontak rapat, diikuti 440 kes (21.4 peratus) melalui saringan bergejala, 91 kes daripada kluster sedia ada dan 71 kes lagi melalui saringan bersasar, manakala baki 296 kes (14.4 peratus) daripada kategori lain.

“Seramai 720 orang (35 peratus) yang positif hari ini adalah daripada kategori 1, manakala 914 orang (44.5 peratus) adalah pesakit dalam kategori 2, diikuti 22 orang dalam kategori 3, enam orang dalam kategori 4 dan dua orang dalam kategori 5. Seramai 388 orang lagi masih dalam siasatan,” katanya.

Satu kluster baharu iaitu Kluster Batu Linting di daerah Kuala Penyu turut direkodkan hari ini dengan sebanyak 29 kes kumulatif termasuk lapan kes baharu hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|