Bendera putih Kampung pinggir, terjawab

Bendera putih Kampung pinggir, terjawab

Kota Kinabalu: Kibaran bendera putih penduduk Kampung Pinggir, di sini, akhirnya terjawab apabila diberikan bantuan bakul makanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Penduduk kampung berkenaan yang mengibarkan bendera putih itu menerima bantuan menerusi program Op Bantu di sini.

Salah seorang penduduk, Kodi Mondong berkata, dia dan keluarga amat berterima kasih dengan bantuan bakul makanan disampaikan oleh IPD Kota Kinabalu.

Katanya, mereka sekeluarga sangat terkesan dengan keadaan semasa pandemik COVID-19 sehingga melakukan tindaka ln sedemikian.

“Selepas pandemik Covid-19 melanda negara, tempat kerja saya di Pelabuhan Kota Kinabalu membuat pengurangan pekerja dan saya adalah salah seorang yang diberhentikan.

“Sejak itu, sukar untuk saya mendapatkan pekerjaan baharu dan terpaksa menganggur selama hampir setahun sebelum berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kodi berkata, dia dan jirannya kemudiannya mengambil keputusan untuk mengibarkan bendera putih sebelum mendapat perhatian IPD Kota Kinabalu.

“Kami amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan ini kerana ia sangat diperlukan bagi meringankan beban harian. Terima kasih kepada semua pihak yang tampil memberikan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, Op Bantu kini sudah memasuki fasa ketiga.

Katanya, hari ini, Op Bantu IPD Kota Kinabalu mendekati 21 keluarga di tiga kawasan termasuk Kolombong, Taman Keramat dan Jalan Pinggir di Bukit Bendera.

“Pemilihan penduduk adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu, ia juga membantu orang perseorangan yang menghubungi IPD Kota Kinabalu sebelum tapisan dilaksanakan,” katanya.

Yusuh berkata, pihaknya akan meneruskan Op Bantu dari semasa ke semasa bagi memenuhi 300 bakul makanan keseluruhan untuk diagihkan kepada pihak memerlukan.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|