Dua PPV secara ‘walk in’ dibanjiri ratusan orang

Dua PPV secara ‘walk in’ dibanjiri ratusan orang

Kota Kinabalu: Dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sandakan dan Lahad Datu yang dibuka secara ‘walk-in’ tanpa perlu janji temu, hari ini, dibanjiri ratusan orang yang hadir seawal jam 7 pagi.

Malah kehadiran yang terlalu ramai itu menjadi semakin sukar dikawal apabila mereka berebut untuk mendapatkan giliran awal sehingga mencetuskan kesesakan dan kekecohan.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan pemantau polis yang menyedari kekurangan anggota bertugas bagi mengawal keadaan terus membuat penambahan segera.

Kekecohan yang timbul ekoran daripada sikap berlumba-lumba orang ramai untuk mendapat giliran vaksin akhirnya berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit selepas penambahan anggota dilakukan.

Insiden itu turut menarik perhatian umum termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memuatnaik rakaman berkenaan sehingga tular di laman sosial.

Kebanyakan netizen juga menyuarakan kebimbangan sikap orang awam dalam rakaman itu yang langsung tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) walaupun jumlah kes positif Covid-19 di negeri ini semakin meningkat saban hari.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata, dua pusat berkenaan adalah PPV Taman Harmoni, Batu 3, Sandakan dan PPV Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu.

Katanya, polis percaya kehadiran orang ramai adalah disebabkan pengumuman kerajaan yang menetapkan dua dos suntikan diperlukan bagi kebenaran rentas sempadan dan ‘dine in’ selain PPV ini boleh diperolehi secara ‘walk in’.

“Pada awalnya, kedua-dua pusat ini hanya dikawal oleh dua anggota polis dan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Bagaimanapun, selepas orang ramai bertindak menyerbu PPV di kawasan masing-masing bagi mendapatkan giliran terawal suntikan vaksin, pasukan polis terus melakukan penambahan keanggotaan untuk mengawal keadaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazli berkata, kekecohan tercetus selepas orang ramai yang berada di lokasi tidak mengendahkan SOP kerana bimbang barisan mereka akan dipotong oleh mereka yang datang lewat.

Katanya, keadaan itu terus menjadi luar kawalan selepas ada pihak yang berang kerana ramai yang berdiri terlalu hampir antara satu sama yang lain.

“Berdasarkan keadaan itu, seramai 20 anggota dan pegawai pasukan pemantau dikerah ke lokasi bagi membantu mengawal keadaan di kawasan PPV daerah masing-masing.

“Kehadiran itu pada awalnya tidak dijangka berdasarkan keadaan PPV sebelum,” katanya.

Sehubungan itu, Mazli menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Katanya, semua orang memerlukan vaksin namun ia tidak bermaksud anda boleh mengabaikan peraturan ditetapkan.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan atau kompaun dikeluarkan kerana kebanyakan mereka yang hadir adalah dari luar bandar dan berkemungkinan kurang faham dengan SOP ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|