Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah terima suapan RM1,500

Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah terima suapan RM1,500

Kota Kinabalu: Seorang kakitangan awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima RM1,500 sebagai upah mempercepatkan permohonan bayaran balik bon pelaksanaan bagi dua projek pembaikan dan penyelenggaraan.

Tertuduh, Duati Gunggut, 55, yang juga pembantu tadbir di Pejabat Daerah Kecil Sook, Keningau, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Duati didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Sept 2008 di premis Maybank cawangan Keningau.

Tertuduh didakwa menerima wang itu bagi mempercepatkan bayaran balik bon pelaksanaan membabitkan projek membaiki dan menggred Jalan Kebun Sakikilo dan Projek menyelenggara surau Kampung Bukit Merah, Sook.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan RM3,000 sebagai deposit serta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa dari SPRM Rekraj Singh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|