Masih perlu tunjuk surat permit rentas daerah di Sabah

Masih perlu tunjuk surat permit rentas daerah di Sabah

Kota Kinabalu: Polis Sabah mengingatkan orang ramai bahawa surat atau permit masih perlu ditunjukkan ketika melakukan pergerakan merentas daerah di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais berkata, Sabah masih gunapakai prosedur operasi standard (SOP) terdahulu berikutan kerajaan negeri belum mengeluarkan SOP baharu.

Katanya, di Sabah masih menggunakan SOP yang dikemaskini pada 6 Ogos lalu dan orang ramai perlu meminta kebenaran serta permit daripada polis untuk merentas daerah manakala kelonggaran pergerakan untuk merentas negeri selepas lengkap dua dos suntikan vaksinasi COVID-19 belum boleh diaplikasi di negeri ini.

“Kawal pergerakan termasuk aktiviti berkumpulan terutama di pasar raya dan lokasi tumpuan ramai termasuk pusat rekreasi bagi memastikan tiada kesesakan luar biasa dalam kalangan masyarakat.

“Amalkan juga disiplin diri sendiri berikutan kita masih berhadapan cabaran jangkitan sporadik yang tidak kelihatan yang boleh menjangkiti komuniti dalam diam,”katanya Ketika ditemui pada Program Op Bantu Fasa 3, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memberikan nasihat terlebih dahulu kepada masyarakat yang melakukan perbuatan yang melanggar SOP termasuk berkumpul beramai-ramai di lokasi tumpuan awan.

“Polis peka masih ramai yang tidak memahami keadaan semasa pertukaran SOP terutamanya pengumuman yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini yang mana ia tidak diguna pakai di Sabah sehinggalah pengumuman SOP baharu dikeluarkan.

“Kita akan memberikan nasihat terlebih dahulu melalui team pemantauan serta eleman kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), jika ada yang berdegil kita akan memberikan kompaun mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau lagi, pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan penugasan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kita akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada KKM bagi melakukan kawalan keselamatan untuk mengatasi kemungkinan berlakunya masalah kesesakan di PPV.

“Penugasan ini juga akan dilaksanakan agensi lain termasuk RELA berikutan kekangan keanggotaan pihak polis yang melakukan penugasan lain di SJR serta tugas pematuhan SOP,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|