Tangguhkan buka sekolah 1 September – PRESBAH

Tangguhkan buka sekolah 1 September – PRESBAH

Kota Kinabalu: Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) menghantar surat rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya pembukaan sekolah 1 September depan, ditangguhkan.

Presidennya, Yahya Ahmad berkata, ia dicadangkan bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah terjamin.

Katanya, melihat kepada keadaan Pandemik Covid-19 yang tinggi di beberapa zon di negeri ini, pembukaan sekolah masih membimbangkan.

“Kebanyakan daerah di negeri ini sudah berada dalam zon merah, maka dengan sendirinya persekitaran dalaman dan luaran sekolah juga jelas masih membimbangkan dan belum dikira selamat.

“Apatah lagi pelajar kita masih belum diberi vaksin. Ada juga pengetua dan guru sekolah yang kini masih ditempatkan di hospital dan pusat kuarantin kerana jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Yahya berkata, perkara itu juga sudah dipanjangkan kepada Perdana Menteri sendiri agar isu ini diberi perhatian tuntas.

“Dalam situasi yang belum menentu ini, keutamaan dan pertimbangan kita semua harus lebih berasas serta bersikap lebih berhati-hati.

“Saya yakin dan percaya dari cerapan semua data isu covid-19 yang terkini, pihak KPM dan Kerajaan mampu membuat keputusan tepat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|