Remaja melecur rumah terbakar

Remaja melecur rumah terbakar

Tuaran: Seorang remaja lelaki melecur di bahagian tangan selepas rumah yang didiami bersama ahli keluarganya terbakar di Kampung Trobong, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang insiden kemalangan jiwa.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu jam 12.10 tengah malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dikerah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 15 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, api masih marak memusnahkan rumah separuh kekal yang berkeluasan 68 meter persegi.

“Operasi pemadaman kebakaran terus dijalankan sebelum api berjaya dikawal pada jam 12.58 tengah malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Affendy berkata, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 1.04 pagi selepas tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula dikesan.

Katanya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|