Kota Kinabalu: Ekonomi Sabah menyusut 9.5 peratus berikutan pertumbuhan negatif setiap sektor ekonomi di negeri ini pada tahun lalu berbanding penyusutan 0.7 peratus pada 2019.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah, Zainol Jamil, berkata secara keseluruhannya, Sabah menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada ekonomi Malaysia pada tahun lalu.
Katanya, sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan negatif 7.4 peratus pada tahun lalu berbanding 5.4 peratus tahun sebelumnya kerana dipengaruhi penurunan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan iaitu negatif 13.7 peratus berbanding pertumbuhan 6.5 peratus pada 2019.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian juga didapati turun sehingga dua digit iaitu negatif 13.5 peratus berbanding negatif 5.3 peratus pada tahun 2019. Penurunan ini dipengaruhi oleh penyusutan aktiviti pengekstrakan petroleum mentah dan gas asli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Laporan Sosioekonomi Sabah 2020 secara dalam talian, di sini, hari ini.
Katanya, bagi sektor pertanian, pengurangan dalam subsektor tanaman khususnya pengeluaran komoditi kelapa sawit dan penyusutan dua digit bagi subsektor perhutanan serta pembalakan menyumbang kepada pertumbuhan negatif sektor pertanian kepada negatif 6.6 peratus pada tahun lalu, berbanding negatif 0.8 peratus pada 2019.
“Sektor Perkhidmatan merekodkan nilai ditambah berjumlah RM36.5 bilion pada tahun 2020, menyusut 7.4 peratus berbanding 5.4 peratus pada tahun 2019.
“Selain penurunan subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman, subsektor pengangkutan dan penyimpanan, hartanah dan perkhidmatan perniagaan turut mendorong kepada kejatuhan sektor ini.
“Di samping itu, Sabah juga mengalami kemerosotan yang signifikan dalam industri berasaskan pelancongan. Selain daripada penurunan ketara bilangan pelancong domestik, impak kejatuhan turut disumbangkan oleh ketibaan pelancong antarabangsa yang menyusut 87.7 peratus pada tahun 2020,” katanya.
Zainol berkata, penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi Sabah iaitu sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan penyusutan prestasi kepada 13.5 peratus tahun lalu dengan nilai ditambah turun daripada RM22.7 bilion pada 2019 kepada RM19.7 bilion tahun lalu.
Katanya, sektor pertanian yang menjadi penyumbang ketiga terbesar ekonomi Sabah pula merekodkan nilai ditambah berjumlah RM12.8 bilion pada tahun lalu berikutan dipengaruhi penurunan dalam subsektor tanaman khususnya pengeluaran komoditi kelapa sawit dan penyusutan ketara bagi subsektor perhutanan serta pembalakan.
“Bagi sektor pembuatan pula, berlaku penyusutan 6.5 peratus pada tahun lalu berbanding negatif 0.6 peratus pada 2019 dengan nilai ditambah berjumlah RM6.1 bilion.
“Ini dipengaruhi oleh penguncupan dalam pembuatan minyak sawit mentah dan minyak sawit bertapis bagi kumpulan subsektor minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata nilai ditambah sektor pembinaan turut memperlihatkan kejatuhan kepada RM2.2 bilion pada tahun lalu berbanding RM3.1 bilion pada tahun sebelumnya.
“Sektor ini merekodkan kemerosotan dua angka kepada 29.1 peratus pada tahun 2020 berbanding 6.2 peratus pada 2019. Penurunan sektor ini dipengaruhi oleh pertumbuhan negatif bagi subsektor kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sabah mencatatkan Keluaraan Dalam Negeri Kasar (KDNK) Per Kapita sebanyak RM21,484 pada tahun lalu iaitu di bawah paras nasional (RM43,378), selain menunjukkan penurunan berbanding RM25,373 pada 2019.
-Deasoka