Labuan: Warga pendidik termasuk di Labuan tidak terkecuali berdepan isu kesihatan mental berikutan pelbagai tekanan yang terpaksa dihadapi semua golongan masyarakat disebabkan pandemik Covid-19.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Yusup Mohamad, berkata kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental sebagai isu yang terpencil suatu ketika dulu kini menjadi cabaran dan isu yang boleh menggugat kredibiliti serta prestasi kerja warga pendidik.
Katanya, JPWPL memandang serius isu berkenaan dan sentiasa memberi perhatian kepada kesukaran dan cabaran yang dihadapi warga pendidik di pulau bebas cukai ini.
“Setiap masa kita sentiasa mencari pendekatan untuk memudahkan apa juga urusan di peringkat sekolah dan jabatan dengan mencari kaedah terbaik menangani cabaran yang dihadapi mereka secara bersama,” katanya.
Seramai 150 warga pendidik di Labuan menyertai Program motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk ‘Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa’ secara dalam talian baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk ‘Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa’ anjuran Sektor Pendidikan Islam (SPI) bersama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Pendidikan Khas, JPWPL yang disertai 150 guru, baru-baru ini.
Program Jaringan Kerjasama JPWPL dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan itu bertepatan dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan semua golongan masyarakat.
Antara lain, program berkenaan bertujuan memulihkan semangat guru dan mengembalikan prestasi kerja yang mungkin terjejas akibat pelbagai cabaran yang dihadapi mereka ketika ini.
Yusup berkata, Sektor Pendidikan Islam turut mengetengahkan Program Bacaan Yaasin dan Doa Munajat setiap malam, Bacaan Zikir Al Mathurat setiap pagi sebagai antara usaha mengukuhkan semangat kerohanian dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Katanya, Sektor Psikologi dan Kaunseling JPWPL pula melaksanakan Program Minda Sejahtera melalui soal selidik Stress, Anxiety dan Depression (eDASS) secara dalam talian selain menyelaras Program Warga Prihatin sebagai saluran menghulurkan bantuan sebagai sokongan emosi dan psikologi kepada warga pendidik yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Sektor Pembangunan Murid pula melaksanakan Program Solidariti Hamparan Kasih dengan tumpuan khusus kepada murid dan pelajar yang terkesan dan ditimpa musibah seperti kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, kebakaran dan kemalangan.
“Sektor yang lain juga menjadi peneraju dan sokongan kepada pelaksanaan program pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada inisiatif jabatan dalam mendepani kesukaran akibat pandemik ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL, Kamariah Salim, berkata guru perlu ada ‘nilai tambah’ dalam penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini untuk menghadapi cabaran pendidikan ketika pandemik.
Katanya, guru memerlukan kemahiran ICT, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pengajaran selain perlu berupaya mengawal emosi ketika berhadapan dengan pelbagai isu.
“Sebagai warga pendidik kita memerlukan kecekalan hati, bersabar, sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik generasi kini melalui norma baharu di samping mengurus keluarga sendiri yang juga berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.
Ketua Pusat Kecemerlangan, Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis, Prof Madya Dr Huzili Hussin yang juga Pakar Motivasi Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) Malaysia dijemput menyampaikan ceramah motivasi pada program itu.
-Deasoka