Bongkar aktiviti seludup rokok di rumah atas air

Bongkar aktiviti seludup rokok di rumah atas air

Tawau: Hasil risikan berterusan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan rokok dalam serbuan di sebuah rumah atas air di Batu 4, di sini, kelmarin.

Operasi jam 11 malam itu bagaimanapun tidak berjaya menahan sesiapapun termasuk penghuni rumah kerana dipercayai sudah meninggalkan rumah selepas menyedari kehadiran polis.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui beberapa kotak rokok pelbagai jenis.

Katanya, semua rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Indonesia untuk pasaran tempatan.

“Semua rokok seludup berkenaan dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan rokok berkenaan dianggarkan berjumlah RM14,694.40,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ridzauddin berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan secara terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|