Tembak rakan sebelum bunuh diri

Tembak rakan sebelum bunuh diri

Kota Samarahan: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertindak menembak tiga rakannya sebelum membunuh diri dalam kejadian di Kem TUDM di sini, hari ini.

Kejadian jam 7.50 pagi itu dilaporkan berlaku di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM, di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika masa serah tugas.

Katanya, salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.

“Dua rakannya yang ditembak meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi parah.

“Mangsa yang parah dikatakan sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera di dalam kem berkenaan,” katanya.

Aidi berkata, mangsa mengalami kecederaan kritikal di bahagian perut sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan.

Sehubungan itu, Aidi berkata, Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Forensik Hospital Umum Sarawak turut hadir di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|