Peguam bayar sogit 7 ekor kerbau

Peguam bayar sogit 7 ekor kerbau

Penampang: Seorang peguam bersetuju membayar sogit tujuh ekor kerbau berikutan tindakannya membuat kenyataan menyinggung perasaan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) berkaitan pertandingan Unduk Ngadau, baru-baru ini.

Marcel Jude Joseph, menandatangani perjanjian mengenai persetujuan membayar denda berkenaan dan menyiarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka di akhbar tempatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dalam kenyataan hari ini, berkata perjanjian itu ditandatangani selepas Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Marcel mencapai persetujuan menyelesaikan isu berkenaan.

Jeffrey yang juga Timbalan Presiden KDCA, berkata Marcel bersetuju untuk menyelesaikan ‘sogit’ tujuh ekor kerbau itu kepada masyarakat KDMR melalui KDCA dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

“Perjanjian ini akan didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Penampang. Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mencabar syarat perjanjian ini di mana-mana mahkamah di Sabah.

“Bagi pihak KDCA, dan semua persatuan yang bersekutu dengannya, kita bersetuju tidak mengemukakan tindakan mahkamah terhadap Marcel dan kita beranggapan perkara ini sudah selesai.

“Sehubungan itu, kita meminta kepada semua masyarakat KDMR untuk membuang kebencian, sebaliknya melakukan apa yang kita selalu buat ke arah mempromosikan keamanan dan perpaduan,” katanya.

Katanya, penyelesaian itu juga mendapat persetujuan daripada Presiden KDCA yang juga Huguon Siou atau pemimpin agung Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang meminta agar isu dicetuskan Marcel tidak dipanjangkan.

Jelasnya, Marcel juga perlu membuat permohanan maaf secara terbuka kepada masyarakat KDMR walaupun sudah meminta maaf kepada Jawatankuasa Unduk Ngadau dan peserta pertandingan itu.

Bagi memastikan isu itu tidak berulang, Jeffrey berkata KDCA sudah diarahkan untuk mendirikan batu sumpah di perkarangan Hongkod Koisaan KDCA, di sini sebagai simbol persetujuan yang menjadi antara adat dan tradisi masyarakat KDMR.

Isu pertandingan Unduk Ngadau timbul pada Jun lalu selepas seorang pegawai penganjur pertandingan didakwa mencabul salah seorang peserta sebelum Marcel yang mewakili lelaki terbabit mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap peserta Unduk Ngadau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|