Penguatkuasaan larangan rentas sempadan diteruskan

Penguatkuasaan larangan rentas sempadan diteruskan

Kudat: Kerajaan negeri akan meneruskan penguatkuasaan larangan rentas sempadan berikutan trend peningkatan kes baru Covid-19 di negeri ini yang dilaporkan sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah kes itu dilaporkan terus meningkat walaupun pelbagai usaha berterusan yang dilakukan pihak berkuasa termasuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan yang terjejas.

“Oleh hal demikian, sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan kerana perjalanan antara daerah masih belum dibenarkan.

“Selain itu, rakyat juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya selepas lawatan kerja ke Daerah Kudat, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran beberapa Prosedur Operasi Piawai (SOP) di negeri-negeri di bawah Pelan Pemulihan Nasional Tahap Dua.

Ia termasuk membenarkan perjalanan antara daerah bagi mereka yang sudah menerima dua dos vaksin sepenuhnya.

Pelan Pemulihan Nasional Sabah Tahap Dua SOP yang dikemas kini pada 12 Ogos, pula bagaimanapun menegaskan, sekatan perjalanan antara daerah masih berlaku kecuali untuk kes kecemasan, pekerjaan (disokong oleh surat dari pekerja), janji vaksinasi COVID-19 dan mereka yang berada dalam perkhidmatan penting sektor.

Ia menyatakan kebenaran perlu diperolehi daripada pigak polis untuk pergerakan rentas daerah bagi kes kecemasan, pasangan suami isteri di dua daerah yang berbeza dan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka yang berusia bawah 18 tahun.

Hajiji berkata, antara langkah memerangi COVID-19 yang diambil adalah memastikan pemberian sebanyak mungkin vaksin kepada rakyat Sabah selain memastikan SOP dipatuhi sepanjang masa.

“Kita juga meminta masyarakat supaya tidak mengadakan perhimpunan yang membabitkan orang ramai dalam masa terdekat ini.

“Kita mahu rakyat lebih berdisiplin kerana hanya dengan cara ini kita dapat melandaikan peningkatan kes pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah akan menerima 200,000 dos tunggal vaksin CanSino minggu depan berikutan jaminan diberikan menteri bertanggungjawab pada Program Imunisasi COVID-19 Nasional, Khairy Jamaluddin.

Katanya, Sabah akan mendapat keutamaan dalam penyediaan vaksin CanSino dan ia akan membantu meningkatkan jumlah vaksinasi yang diperlukan bagi mencapai imuniti kelompok.

“Setakat ini, seramai 1,227,628 orang atau 44.5 peratus penduduk negeri atas 18 tahun sudah menerima dos pertama vaksin,”
Katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|