Covid-19 Sabah: Pesakit kategori dua paling ramai

Covid-19 Sabah: Pesakit kategori dua paling ramai

Kota Kinabalu: Pesakit baharu Covid-19 dalam kategori dua atau menunjukkan gejala ringan mencatat jumlah yang tinggi dengan seramai 995 kes atau 60.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pesakit tidak bergejala atau berada dalam kategori satu hanya mencatat 306 kes atau 18.5 peratus daripada keseluruhan 1,654 kes baharu.

“Jumlah pesakit dalam kategori dua juga semakin meningkat berbanding jumlah mereka dalam kategori satu. Hari ini seramai 995 kes (60.2 peratus) berada dalam kategori dua dan 306 (18.5 peratus) dalam kategori satu.

“Selebihnya, iaitu lapan orang dalam kategori tiga, diikuti empat orang dalam kategori empat serta tiga orang lagi dalam kategori lima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daripada 1,654 kes hari ini, sebanyak 956 kes atau 58 peratus adalah daripada saringan kontak rapat, diikuti 528 kes atau 32 peratus dikesan melalui saringan bergejala.

Jelasnya, aliran semasa yang menunjukkan kenaikan ketara dalam kategori bergejala di beberapa daerah adalah isyarat bahawa penularan virus Covid-19 semakin meluas dalam kalangan komuniti.

“Di daerah Kota Kinabalu, hampir 37 peratus kes baharu hari ini adalah daripada kategori bergejala, diikuti Tawau (43 peratus), Tuaran (41.6 peratus), Penampang (29 peratus) dan Sandakan (41 peratus).

“Kategori bergejala adalah kes yang menular dalam komuniti secara sporadik, iaitu punca penularan sebenar tidak diketahui,” katanya.

Sementara itu, katanya walaupun kes hari ini menurun 398 berbanding 2,052 semalam, namun lapan daerah mencatatkan kes baharu tiga digit hari ini.

Daerah terbabit katanya ialah Kota Kinabalu sebanyak 351 kes (-264); Tawau, 210 kes (+32); Penampang, 204 kes (-17); Sandakan, 116 (+23); Kota Belud, 107 kes (+23); Papar, 101 kes (+56); Tuaran, 101 kes (-25) dan Keningau, 100 kes (-3).

“Daerah lain yang memperlihatkan perubahan ketara dalam jumlah kes harian ialah Telupid, 11 kes (-66); Lahad Datu, 36 kes (-14); Beluran, 26 kes (-21); Kalabakan, 24 kes (-21); Beaufort, 29 kes (-27); Kudat, 30 kes (+27); Tambunan, dua kes (-15); Kota Marudu, 12 kes (-12); Kinabatangan, 10 kes (+10); Ranau, 27 kes (-17); Sipitang, 30 kes (+16) dan Putatan, 25 kes (-12),” katanya.

Satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Donggongon, Penampang yang setakat ini mencatat 22 kes kumulatif termasuk lapan kes hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata sehingga semalam, 43.9 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi satu dos vaksin dan 19.6 peratus sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini , Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan memberi suntikan setiap hari.

“Semalam, JKNS berjaya memberi 54,091 dos suntikan vaksin kepada penduduk di Sabah, menghampiri sasaran keupayaan maksimum JKNS sebanyak 59,000 dos sehari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|