15 lelaki ditahan, rampas hasil laut dalam Op Bersepadu Khazanah

15 lelaki ditahan, rampas hasil laut dalam Op Bersepadu Khazanah

Kota Kinabalu: Seramai 15 individu yang menjalankan aktiviti menangkap hasil laut di kawasan perairan Taman-Taman Sabah (TTS) Pulau Tiga, ditahan oleh petugas-petugas Op Bersepadu Khazanah (OBK), semalam.

Operasi jam 10 malam itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabab, Taman Taman Sabah (TTS) dan World Wild Fund For Nature (WWF).

Semua individu terbabit yang menaiki empat bot ditahan ketika sedang berlabuh di kawasan Kelampunian Besar, Pulau Tiga.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua individu berusia 25 hingga 56 tahun terbabit dikesan menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua hasil laut disembunyikan di dalam kotak penyimpanan khas di bot berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah menangkap ikan dalam kawasan perairan TTS Pulau Tiga.

“Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Enakmen Taman 1984 Pindaan 2007 mengikut Seksyen 48(1)(c),(d) dan (p),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua yang ditahan bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke Stesen Taman Pulau Tiga untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil keseluruhan rampasan termasuk bot dan hasil laut dianggarkan bernilai RM170,810 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Hasil laut yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilepaskan semula di kawasan perairan TTS Pulau Tiga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|