Jangan mudah terpedaya jualan dalam talian

Jangan mudah terpedaya jualan dalam talian

Kota Kinabalu: Orang ramai digesa supaya sentiasa berwaspada dengan promosi jualan menarik yang dijalankan menggunakan platform atas talian.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di internet.

Katanya, kebanyakan produk itu dijual di laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar dalam negara dan ia juga tidak tertakluk kepada akta perundangan negara ini.

“Sesetengah produk yang dipromosikan di platform berkenaan mempunyai kecenderungan yang menyerupai produk berjenama.

“Pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak mereka daripada platform berkenaan sekiranya kualiti produk yang dibeli melalui gimik jualan murah berkenaan gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyertai Program Advokasi Pengguna Screen Shopping anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tuaran.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa daerah (KPPD) Cawangan Tuaran, Saripuddin Moleng dan penceramah jemputan khas Eksekutif Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu, Mohammed Tonarusli Tonamli serta Penasihat Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Victor Sabin.

David berkata, sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai digesa supaya lebih bijak menilai jualan dan promosi menerusi platform e-dagang sedemikian.

“Orang ramai juga dinasihati sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform digunakan ketika melakukan transaksi.

“Selain perlu meneliti syarat-syarat perkhidmatan dan polisi berkaitan dengan pembayaran balik serta pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang.

“Ia penting bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Saripuddin berkata, suasana pembelian melalui atas taliansangat menggalakkkan dalam keadaan kita menghadapi dengan pandemik COVID19.

Katanya, dengan adanya program seperti ini, para peserta akan dapat menyampaikan kepada rakan-rakan dan masyarakat supaya lebih berhati-hati semasa pembelian secara dalam talian.

“Aduan yang kami terima setakat ini semakin membimbangkan kerana ianya membabitkan wang ringgit yang banyak.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini akan memperdaya para pengguna dengan menggunakan modus operandi yang berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, Datuk Amisah Yassin berkata, kesedaran terhadap pembelian melalui internet atau secara atas talian memang perlu wujud dalam setiap orang.

Katanya, hak dan tanggungjawab ini harus seiring melibatkan para penjual serta pembekal barangan dan perkhidmatan.

“Pengguna membayar setiap pesanan yang mereka lakukan. Kita semua adalah pengguna. Mereka memain peranan yang penting dalam putaran sebagai pengguna bagi membeli barangan mereka.

“Kita sering mendengar dan membaca berita mengenai pengguna yang sering ditipu oleh peniaga dan pembekal. Jangan mudah tertipu dengan iklan yang penjual war-warkan tanpa ada kesangsian daripada anda sendiri sebagai pengguna yang bijak dan berpelajaran,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|