Kota Kinabalu: Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu berjaya menahan sebuah lori dengan muatan minuman keras disyaki diseludup yang dianggarkan bernilai RM222,552 di Jalan Kitobu – Kolopis Inanam, di sini, hari ini.
Ops Kontraban jam 9.30 pagi yang dijalankan pasukan perisikan Batalion 16 PGA Kota Kinabalu itu turut menahan pemandu lori bersama kelindan berusia 36 dan 23 tahun.
Komander Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya mengekori sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, lori berkenaan yang bergerak dari Sport Inanam kemudiannya ditahan di Jalan Kitobu.
Lori membawa muatan minuman keras disita untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di bahagian dalam kontena lori itu menemui 800 katon minuman keras disyaki tidak bercukai.
“Pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki terbabit, bagaimanapun tidak menemui apa-apa barang salah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pemandu dan kelindan lori ditahan.
Mohd Abduh berkata, seterusnya tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Inanam untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori berjumlah RM402,552.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.
-Deasoka