Persatuan rayu industri pengiklanan diberi kelonggaran beroperasi

Persatuan rayu industri pengiklanan diberi kelonggaran beroperasi

Kota Kinabalu: Persatuan Pengiklanan Negeri Sabah merayu Kerajaan Negeri untuk memberi kelonggaran dan membenarkan semula operasi perniagaan industri itu di negeri ini.

Presidennya, Kenny Ho berkata, industri itu dilihat semakin terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dengan sebahagian ahli-ahli persatuan terpaksa mengambil langkah gulung tikar.

“Ahli-ahli persatuan akur dengan arahan kerajaan tidak membenarkan kami beroperasi semasa PKP dilaksanakan.

“Namun demikian, akibat daripada pemberhentian operasi, kami telah mengalami beban kos tertunggak, seperti kos sewa premis, gaji pekerja, kos pengangkutan tidak produktif dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan dan penyerahan permohonan kelonggaran untuk beroperasi kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Kenny berkata, berikutan Sabah yang kini telah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan terdapat kelonggaran aktiviti ekonomi dan sosial diberikan di Sabah, pihaknya dalam pada itu merayu supaya kerajaan mempertimbangkan perniagaan mereka dibuka semula.

“Justeru itu, saya mewakili seramai 80 ahli persatuan kami kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk memberi kelonggaran dan kebenaran khas kepada pengusaha pengiklanan di negeri ini.

“Ia adalah dengan syarat pematuhan prosedur operasi standart (SOP) ketat yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kami bersedia menerima apa juga syarat serta peraturan diberikan asalkan diberikan kelonggaran beroperasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|