Kakitangan Cements Industries sertai PIKAS suntik vaksin

Kakitangan Cements Industries sertai PIKAS suntik vaksin

Kota Kinabalu: Seramai 130 kakitangan Cements Industries (Sabah) Sdn Bhd sudah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Pengerusi Cements Industries (Sabah) Sdn Bhd, Datuk Japlin Akim berkata, penyertaan menerusi program itu bertujuan memastikan seluruh kakitangan mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, program itu diharap dapat membantu mempercepatkan lagi proses suntikan vaksin dalam kalangan warga Cements Industries sekali gus membolehkan syarikat beroperasi seperti biasa.

“Malah suntikan ini diharap dapat memberi pelindungan daripada jangkitan bukan saja kepada diri mereka tetapi juga ahli keluarga yang lain,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Japlin berkata, usaha MITI Sabah yang mempercepatkan proses PIKAS ke negeri ini mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri dan negara, wajar mendapat pujian.

Untuk rekod, PIKAS merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bermatlamatkan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi negara dengan sasaran sekurang – kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini.

Di Sabah, PIKAS yang bermula pada Sabtu lalu dengan menyasarkan seramai 18,000 pekerja daripada 407 kilang pembuatan yang berdaftar dengan Kerajaan negeri.

Ia membabitkan pekerja dalam sektor pembuatan di Kota Kinabalu dan daerah berdekatan iaitu Putatan, Penampang, Papar serta Tuaran.

Menerusi program PIKAS itu, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma manakala sektor swasta pula akan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

Kos pengurusan PPV ini sekali gus ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta dapat menjimatkan peruntukan kerajaan.

Terdapat dua jenis PPV dibawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang membabitkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel, manakala PPV Di Tapak pula adalah melibatkan pemberian vaksin di premis kilang.
 
Melalui program ini majikan perlu menanggung sepenuhnya kos vaksinasi pekerja dan mereka tidak dibenarkan memotong gaji pekerja.

Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat dan mendaftar dalam talian melalui www.miti.gov.my.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|