Perkembangan teknologi, martabatkan pendidikan

Perkembangan teknologi, martabatkan pendidikan

Putatan: Penggunaan teknologi dalam norma baharu pembelajaran akan memartabatkan pendidikan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, komputer riba adalah salah satu keperluan penting untuk para pelajar dalam menjalani proses pembelajaran norma baharu semasa pandemik ini.

Katanya, perkembangan itu selaras dengan keperluan generasi masa kini yang sememangnya berada dalam era teknologi maklumat, komunikasi dan juga digital.

“Komputer riba bukan lagi satu kemewahan ataupun kelebihan tetapi ia adalah keperluan asas untuk para pelajar.

“Dalam usaha menuntut ilmu yang akan menggunakan teknologi secara maya, maka kita bantu pelajar-pelajar semua agar proses pembelajaran tidak terganggu,” katanya.

Shahelmey berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan komputer riba kepada beberapa orang pelajar cemerlang dan kurang berkemampuan sekitar kawasan Tanjung Keramat di Putatan, di sini, semalam.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat berkata, pihaknya sangat menitik beratkan penguasaan ilmu supaya ia akan dapat membantu masyarakat di masa hadapan.

“Dengan penguasaan ilmu maka seseorang itu boleh mengubah nasib diri dan keluarga. Maka kita menitik beratkan penguasaan ilmu dan proses pembelajaran bagi anak-anak kita,” katanya.

Untuk rekod, sumbangan komputer riba ini adalah inisiatif Pusat Khidmat Rakyat N24 dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat.

Ia adalah usaha memartabatkan pendidikan dan mengiktiraf kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar.

Shahelmy berkata, sumbangan ini diharap akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).

Katanya, ia juga diharap dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus menimba ilmu dan mencapai kejayaan di masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|