Penyeludupan masuk barang kosmetik dipatahkan

Penyeludupan masuk barang kosmetik dipatahkan

Tawau: Cubaan menyeludup masuk barangan kosmetik ke daerah ini berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam operasi yang dijalankan, semalam.

Dalam operasi jam 4 petang itu, semua barangan berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran, Indonesia, untuk pasaran tempatan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, ketika rondaan dijalankan, pasukan operasi terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri sebaik menyedari cuba dihampiri pasukan operasi.

“Pemeriksaan di kawasan berhampiran membawa kepada penemuan beberapa kotak yang berisi barangan kosmetik yang ditinggalkan kedua-dua suspek.

“Semua barangan berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,652 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada PPM menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|