GRS bincang pendekatan terbaik hadapi PRU

GRS bincang pendekatan terbaik hadapi PRU

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang sesama parti dalam gabungan itu untuk mencari pendekatan terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perbincangan itu akan membabitkan semua pemimpin parti komponen dalam gabungan berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu akan diambil walaupun Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan sedia berdepan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menjadi rakan dalam GRS pada PRU akan datang.

Jelasnya, kenyataan Bung Moktar itu adalah maklum balasnya terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemungkinan pertembungan calon UMNO dan BERSATU pada PRU akan datang.

Tambahnya, Muhyiddin menyatakan perkara itu berdasarkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mengatakan UMNO kekal dengan pendirian akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan negeri yang dimenanginya pada PRU lalu.

“Bagaimanapun dalam konteks politik di Sabah, ia sangat unik di sini. Situasi politik di negeri ini berlainan dengan di Semenanjung.

“Bagi kita di Sabah, kita akan bincang dengan semua parti komponen dalam GRS secara baik bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi GRS dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Bung Moktar mengenai isu pembahagian kerusi di antara UMNO dan BERSATU.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, dalam kenyataannya sebelum ini berkata UMNO Sabah akan menuruti keputusan UMNO Pusat untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi parti itu pada PRU lalu termasuk sedia berdepan dengan BERSATU.

GRS dibentuk pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) tahun lalu menggabungkan parti komponen PN iaitu BERSATU, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP); Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, Hajiji berkata apa yang penting ialah pemimpin GRS sejak dari awal menyatakan akan bekerjasama dan menghormati mandat diberikan rakyat untuk mentadbir negeri.

“Banyak kerja yang perlu kita lakukan untuk melaksanakan agenda pembangunan termasuk mengurus pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama memulihkan ekonomi.

“Kita ketepikan politik dan marilah kita sama-sama memberi tumpuan kepada perkara yang perlu dijadikan keutamaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|