Kerajaan Pusat perlu sediakan dana khas untuk kerja kecemasan akibat bencana alam di Sabah

Kerajaan Pusat perlu sediakan dana khas untuk kerja kecemasan akibat bencana alam di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat perlu menyediakan peruntukan khas kepada Sabah bagi menyelesaikan kerja kecemasan yang memerlukan tindakan segera terutama yang disebabkan bencana alam.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata banyak kawasan terjejas akibat bencana alam seperti jalan dan cerun runtuh atau jambatan rosak akibat banjir dan tanah runtuh sejak akhir-akhir ini.

Katanya, kes kebakaran yang memusnahkan banyak kediaman penduduk kampung juga berlaku selain pelbagai lagi kerosakan akibat bencana yang memerlukan peruntukan segera untuk melaksanakan pembaikan.

“Jika berlaku bencana alam yang menyebabkan jalan dan cerun atau sebagainya yang memerlukan kos tinggi untuk kerja pembaikan, kita perlu memohon kepada kementerian berkaitan atau Kementerian Kewangan yang mana prosesnya memakan masa.

“Ini menyebabkan kerja pembaikan lambat dilaksanakan dan ia sudah pasti membebankan rakyat ” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mencadangkan agar kerajaan Pusat menyediakan dana khas kepada kerajaan negeri untuk membiayai kos pembaikan bagi kerja kecemasan yang memerlukan perbelanjaan tinggi yang tidak mampu disediakan kerajaan negeri.

“Berikanlah dana khas sekitar RM200 ke RM300 juta setahun untuk membiayai kerja-kerja kecemasan agar memudahkan kerajaan negeri mempercepatkan tindakan untuk memperbaiki segala kerosakan disebabkan bencana alam,” katanya.

Dalam perkara yang sama, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri turut mengulangi hasrat kerajaan negeri agar Sabah diberikan kuasa autonomi untuk melaksanakan projek pembangunan di bawah RMKe-12 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

“Sabah sudah merdeka melalui Malaysia selama 58 tahun namun dari segi pembangunan amat jauh ketinggalan berbanding negeri lain menyebabkan Sabah masih dikategorikan negeri termiskin.

“Ini disebebkan pelarasan program pembangunan yang mendapat peruntukan dari keraajaan Pusat masih menggunakan keadah lama dan tidak relevan ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan Pusat wajar menyerahkan peruntukan yang disediakan kepada kerajaan negeri untuk perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

Jelasnya, kerajaan negeri lebih memahami demografi dan keperluan rakyat, maka adalah wajar peruntukan RMKe-12 disalurkan kepada kerajaan negeri bagi memastikan projek pembangunan dalam RMKe-12 dapat dilaksana dengan lancar.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo, Bung Moktar sekali lagi meminta agar kerajaan Pusat menyegerakan kelulusan untuk melaksanakan projek itu menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) seperti diminta kerajaan negeri.

“Kita perlu kelulusan segera daripada kerajaan Pusat agar projek Lebuh Raya Pan Borneo dapat dipercepatkan demi untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat Sabah selari dengan konsep Keluarga Malaysia dan komitmen kerajaan untuk mentransformasikan kawasan luar bandar khususnya di Sabah,” katanya.

Tambahnya, jika projek itu tidak dilaksanakan secara PFI, agak sukar bagi kerajaan menampung kos pembiayaannya memandangkan keadaan ekonomi negara terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 .

Dalam ucapan perbahasan itu, Bung Moktar turut menyentuh penggunaan aplikasi MySejahtera yang katanya banyak menimbulkan masalah kepada rakyat terutama mereka yang tidak memiliki telefon pintar.

“Rakyat mengeluh apabila mereka memasuki kedai runcit, pusat membeli belah dan jabatan kerajaan, mereka tidak dapat menunjukkan MySejahtera kerana tidak memiliki telefon pintar, hanya menggunakan kad yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuat kenyataan yang meyakinkan dan tidak menyusahkan rakyat dengan mengambil kaedah yang lebih mudah dan tidak menyusahkan rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|