Mesej tular UMNO Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri adalah palsu – Pejabat Timbalan Ketua Menteri

Mesej tular UMNO Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri adalah palsu – Pejabat Timbalan Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah menafikan Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan mesej tular di media sosial yang mengatakan UMNO Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.

Dalam kenyataan media malam ini, Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abd Wahid, berkata mesej yang tular itu adalah palsu kerana Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya laporan itu diedit oleh individu yang tidak bertanggungjawab berdasarkan situasi politik yang berlaku di Melaka ketika ini.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak mempercayai berita ini dan menularkannya di media sosial.

“Jika perkara ini berterusan, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia adalah maklumat palsu,” katanya.

Jaafar merujuk kepada satu gambar tangkap layar BH Online bertajuk ‘UMNO Sabah juga hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri’ berlatar belakang gambar Bung Moktar ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Jaafar berkata, perbuatan mengedit laporan berita itu dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai kepentingan atau agenda politik tertentu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|