Sipitang: Dua penjawat awam di daerah ini ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, selepas didapati positif dadah, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan dalam operasi Op Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
Katanya, sebaik ditahan, kedua-dua suspek diarahkan membuat pemeriksaan dan ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kedua-dua suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Champin berkata, polis akan meneruskan operasi Op Tapis di sekitar kawasan daerah Sipitang dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi mengesan pembekal dan penagih dadah syabu dalam usaha menyelamatkan mereka daripada terus terlibat dalam kegiatan ketagihan syabu.
“Saya mohon kerjasama daripada masyarakat Sipitang supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan segera.
“Mereka yang disyaki penagih dan pembekal dadah syabu di Sipitang perlu segera ditahan supaya masalah dadah syabu dapat dibenteras khususnya di daerah Sipitang,” katanya.
-Deasoka