Saya sokong PBT tangkap haiwan ternakan berkeliaran – Jeffrey Kitingan

Saya sokong PBT tangkap haiwan ternakan berkeliaran – Jeffrey Kitingan

Tambunan: Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyokong langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran, khususnya di daerah ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata langkah itu wajar sebagai pengajaran kepada pemilik dan orang ramai supaya menjaga haiwan ternakan mereka sepanjang masa.

Katanya, haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran terutama di jalan raya bukan saja menyebabkan kemalangan, malah merosakkan harta benda dan kadangkala hingga membabitkan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, jika terus dibiarkan ia boleh menjejaskan usahanya untuk menjadikan Tambunan sebagai hab penting pertanian dan pelancongan di Sabah.

“Daerah ini dianugerahkan dengan tanah yang subur dan sumber alam semulajadi yang unik yang tidak boleh didapati di daerah lain.

“Bagaimanapun, kita melihat peningkatan jumlah haiwan ternakan berkeliaran di jalan awam dan dalam kes tertentu menyebabkan kemalangan atau kehilangan nyawa dan harta benda.

“Sehubungan itu, saya menyokong penuh keputusan dibuat PBT untuk menangkap semua haiwan ternakan yang dibiarkan oleh pemiliknya di jalan raya sebagai pengajaran supaya menjaga harta mereka dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan Tamu Besar Tambunan yang berlangsung hari ini.

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata langkah menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran itu bagi memastikan Tambunan sentiasa bersih sebagai persediaan mengalu-alukan kedatangan semula pelancong pada tahun depan.

Terdahulu, Jeffrey memberi jaminan kerajaan akan memastikan peniaga kecil di negeri ini terus berkembang maju seperti yang mereka nikmati sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Beliau mengakui sepanjang dua tahun lalu adalah tempoh paling sukar kepada peniaga kecil kerana terpaksa menutup kedai disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berterusan ketika kerajaan memerangi penularan Covid-19.

“Sekarang sektor ekonomi sudah dibenarkan dibuka, kita sudah boleh bernafas lega. Justeru, majlis hari ini disasar sebagai permulaan untuk aktiviti komersial di daerah ini bagi membantu dengan sebaik mungkin peniaga tempatan,” katanya.

Jelasnya, acara tamu besar berkenaan adalah satu inisiatif kerajaan untuk membantu orang ramai kembali kepada kehidupan normal secara perlahan-lahan walaupun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita mahu ekonomi domestik kembali sepenuhnya tetapi kita mesti ingat bahawa pandemik Covid-19 belum lagi selesai dan kesihatan awam masih kekal sebagai keutamaan tertinggi kita sepanjang masa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|