Penghayatan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia penting diterjemah tangani Covid-19 bersama

Penghayatan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia penting diterjemah tangani Covid-19 bersama

Sipitang: Penghayatan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu diterjemahkan dengan semangat perpaduan di kalangan rakyat, terutamanya menangani isu pandemik Covid-19.

Bagi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Sani Miasin, sudah tiba masanya semangat cintakan negara dan negeri itu perlu menjadi iktibar bersama dalam mengadaptasikan norma baharu untuk terus memajukan Sabah.

Jelasnya, tarikh keramat itu perlu dimanfaat sebaik mungkin dengan penghayatan serta keiinginan terus berdaya maju dalam memulihkan ekonomi dan sosial yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

“Dengan adanya usaha ini, kita sebagai rakyat Malaysia dapat memupuk semangat cintakan negara dan negeri yang tinggi dan juga mengambil iktibar serta inspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara dan negeri mencapai kemerdekaan walaupun kita masih lagi berada di dalam suasana norma baharu pandemik Covid-19.

“Semoga kita dijauhkan dari musibah Covid-19 selama-lamanya untuk kita semua dan boleh membuat aktiviti seperti sedia kala,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara simbolik penyerahan bendera Malaysia dan Sabah kepada Pemaju Mukim dan Pemaju Masyarakat mewakili 64 Buah JPKK N35 Sindumin, Sipitang, baru-baru ini.

Terdahulu, Sani dalam masa yang sama turut menasihatkan masyarakat setempat supaya meningkatkan pemahaman prosedur operasi standart (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19 di daerah Sipitang.

Jelasnya, semangat kerjasama untuk menerima vaksinasi memainkan peranan penting dalam tujuan mencapai sasaran komuniti kelompok di daerah itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|