Sumbangan sebagai penyuntik semangat petugas SJR

Sumbangan sebagai penyuntik semangat petugas SJR

Kota Kinabalu: Petugas barisan hadapan yang menerima sumbangan bakul makanan diharap dapat menyuntik semangat mereka untuk terus berkhidmat dengan dedikasi di lapangan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, sumbangan yang diberikan sebagai salah satu penghargaan itu disampaikan kepada 51 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini.

Katanya, umum mengetahui, petugas barisan hadapan sudah berada di lapangan dalam tempoh yang lama iaitu hampir mencecah dua tahun sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kita mengharapkan sumbangan yang disampaikan ini menjadi penyuntik semangat dan motivasi kepada petugas barisan hadapan.

“Ini bukan saja untuk anggota dan pegawai polis, tetapi juga agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersama-sama berkhidmat di SJR,” katanya ketika ditemui di Sekatan Jalan Raya di Jalan Rugading Telipok di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asistsn Komisioner Mohd Zaidi Abdullah dan Timbalannya, Superintendan George Abd Rakman.

Mazli berkata, program mendekati pegawai dan anggota di setiap SJR itu juga akan menjadi sebagai salah satu platform bagi memastikan pasukan polis lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas diamanahkan.

Katanya, penugasan di SJR sememangnya satu tugas mencabar kerana bukan saja perlu berdepan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu malah berhadapan pelbagai ragam pengguna jalan.

“Kita berharap pengguna jalan raya akan terus memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan dan tidak sesekali melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pihak polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun serta mengenakan tindakan setimpal sekiranya berlaku sebarang salah laku atau kesalahan,” katanya.

Mazli berkata, kelonggaran pergerakan bagi mereka yang sudah menerima dua dos vaksin juga dinasihatkan supaya tidak disalahgunakan.

Katanya, masyarakat perlu bersama-sama membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam komuniti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|