PBS ajak pembangkang manfaatkan tawaran PM

PBS ajak pembangkang manfaatkan tawaran PM

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengajak parti pembangkang supaya memanfaatkan tujuh cadangan kerjasama yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan khas beliau petang semalam.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata cadangan itu harus dipertimbang secara positif oleh semua pihak.

Katanya, tindakan semua pihak pada masa ini seharusnya mendahulukan keperluan negara dan mengutamakan kestabilan ekonomi serta politik.

“Tujuh cadangan kerjasama yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, demi kestabilan negara, harus dipertimbang secara positif oleh semua pihak.

“Ini adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan saya dari pihak pembangkang untuk merebut peluang ini dan mendahulukan keperluan negara dan mengutamakan kestabilan ekonomi, serta politik, dan bersama membawa negara ini maju ke hadapan sebagai tanda komitmen solidariti kita,” katanya.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata berdasarkan keadaan politik negara ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama dan mengenepikan perbezaan fahaman politik, sesuai dengan slogan ‘rakyat didahulukan’.

Katanya, tanggungjawab yang lebih penting kini adalah membendung penularan Covid-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini bukan masanya untuk bertengkar soal siapa yang patut menjadi Perdana Menteri. Kita boleh menyelesaikan masalah itu melalui pilihan raya umum dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Namun, ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak kerajaan, dan bukannya pergi mengundi, terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih ditahap yang membimbangkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|