GRS tidak tergugat, sokongan UMNO Sabah masih kental

GRS tidak tergugat, sokongan UMNO Sabah masih kental

Kota Kinabalu: Ada pihak meramalkan kedudukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditunjangi pelbagai parti bakal bergoyang berikutan kemelut politik kerajaan Pusat pimpinan Perikatan Nasional (PN) sejak kebelakangan ini.

Asasnya dilihat berdasarkan komposisi GRS yang turut mengandungi UMNO dan PN, dua entiti politik dalam kerajaan Pusat yang ‘putus’ persefahaman selepas UMNO membuat ketetapan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinannya, baru-baru ini.

Bukan setakat penganalisis kedai kopi, ramalan ‘goncangan kuat’ politik di Kuala Lumpur bakal menerbangkan tempiasnya ke Sabah itu turut disebut penganalisis politik bertauliah dari universiti tempatan.

Jika ditinjau pendapat parti lawan, ramalan mereka lagi hebat, siap meminta Ketua Menteri mengemas meja, malah ada yang sudah berangan-angan untuk menyusun langkah ke PPNS (Pusat Pentadbiran Negeri Sabah).

Namun, ia cuma ramalan atau dalam bahasa manisnya disebut spekulasi yang mana sesiapa saja bebas memberikan pendapat, sama ada penganalisis kedai kopi, penganalisis bertauliah atau penyokong pembangkang.

Mungkin, pemimpin dalam parti kerajaan juga tidak ketinggalan membuat ramalan yang sama, cuma bimbang untuk diluahkan secara terang-terangan kerana hubungan sesama rakan dalam GRS perlu dijaga.

Persoalannya, mungkinkah GRS akan turut bergoncang selepas ini? Mungkinkan nanti UMNO Sabah pula mengumumkan hilang keyakinan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan GRS yang dipimpinnya?

Kata orang tunggu dan lihat, politik adalah mainan unik yang macam-macam boleh berlaku dan berubah sekelip mata meskipun pada mulanya kelihatan sukar dipercayai atau mustahil.

Namun, dalam konteks GRS, pendirian UMNO Sabah sebelum ini yang menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan gabungan itu walau apapun yang berlaku di Kuala Lumpur seharusnya menamatkan semua spekulasi liar sebelum ini.

Dalam satu kenyataan pada 6 Ogos lalu UMNO Sabah menyatakan pendiriannya untuk terus kekal dan menyokong kerajaan GRS di bawah kepemimpinan Hajiji dan meminta agar pendirian itu dihormati semua pihak.

UMNO Sabah turut menjelaskan bahawa walaupun ia menghormati dan akur dengan ketetapan pucuk pimpinan parti di peringkat Pusat, namun perkara itu perlu disesuaikan dengan kuasa autonomi yang dimiliki UMNO Sabah dalam menentukan pendiriannya.

“Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa jua
keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada UMNO Sabah di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16) yang lepas akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.

“Oleh itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong kerajaan GRS di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Hajiji Noor. Kami berharap pendirian ini dihormati oleh semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah
tercinta,” kata kenyataan UMNO Sabah itu.

Berdasarkan kenyataan itu, jelas bahawa UMNO Sabah tidak mahu mensia-siakan mandat diberikan rakyat negeri ini yang memberi kemenangan kepada UMNO bersama rakan parti lain yang membentuk GRS pada PRN-16 September tahun lalu.

GRS juga wujud ketika kempen PRN-16 baru bermula melalui pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir di Tuaran pada hari penamaan calon PRN-16 pada 11 September tahun lalu untuk memberi sokongan kepada Hajiji selaku calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.

GRS adalah gabungan yang merangkumi PN Sabah, Barisan Nasional (BN) Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS). PN dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, manakala BN Sabah dianggotai UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Selepas membentuk kerajaan, GRS mengambil langkah memperkukuh kedudukan gabungan itu melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semua parti gabungan pada 9 Januari lalu bagi mengekalkan kerjasama dan menolak campur tangan luar yang cuba mengguggatnya.

Selain Hajiji selaku Pengerusi GRS dan PN Sabah, Ketua UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut hadir dan menandatangani MoU berkenaan bersama tujuh pemimpin lain mewakili semua parti dalam GRS.

Jelaslah bahawa UMNO Sabah sejak dari awal lagi konsisten dengan pendirian menyokong dan mempertahankan GRS, malah Bung Moktar sendiri sebelum ini juga berulang kali menegaskan komitmen beliau dan UMNO Sabah untuk meneruskan kerjasama yang terjalin sejak PRN-16 itu.

Berdasarkan perkembangan itu, perjalanan politik GRS pasti mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) yang masih bertempoh kira-kira empat tahun lagi, malah berpotensi terus menerajui kerajaan selepas itu.

Rakyat Sabah juga sebenarnya sudah bosan melihat parti politik saling bertelingkah untuk merebut kuasa lebih-lebih lagi ketika tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi yang terjejas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|