Remaja mandi sungai bersama rakan dikhuatiri lemas

Remaja mandi sungai bersama rakan dikhuatiri lemas

Tuaran: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi bersama tiga rakannya, di Sungai Kampung Sekudung, Serusup, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiga rakannya yang menyedari kehilangan mangsa terus membuat laporan kecemasan untuk mendapatkan bantuan segera.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Amar Qayyum Rasmi dan berasal dari Kampung Bolong Lama, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan bot penyelamat.

“Pasukan operasi menjalankan pencarian menggunakan kaedah permukaan sejauh 100 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 6.18 selepas keadaan cuaca semakin gelap selain tiada sebarang petunjuk yang membawa kepada penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, operasi pencarian hari kedua diteruskan hari ini membabitkan Pasukan Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Katanya, seramai lima penyelam memulakan operasi pencarian bermula jam 7.05 pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|