Pembersih pejabat cetus Kluster Donggongon

Pembersih pejabat cetus Kluster Donggongon

Kota Kinabalu: Seorang pembersih pejabat mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan di tempat kerja membabitkan sebuah premis badan berkanun di Penampang.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata wanita berumur 46 tahun itu dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 4 Ogos lalu.

Katanya, Kluster Donggongon itu sehingga kini mencatat sebanyak 22 kes termasuk lapan kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

“Kes indeks adalah pembersih pejabat, wanita, berumur 46 tahun yang disahkan positif hasil saringan bergejala dengan keputusan positif (RTK-Ag) di sebuah klinik swasta pada 4 Ogos lalu.

“Selain satu lagi kes dikesan pada tarikh sama, pertambahan kes dalam kalangan kontak rakan sekerja direkodkan pada 11 Ogos dengan 12 kes, diikuti satu kes pada 12 Ogos dan tujuh kes pada 13 Ogos melibatkan rakan sekerja dari daerah Putatan dan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan 1,654 kes baharu Covid-19 dengan 15 lagi kematian dilaporkan, iaitu enam kes di Kota Kinabalu, diikuti masing-masing tiga kes di Tawau dan Sandakan, manakala masing-masing satu kes di Beaufort, Papar dan Keningau.

Masidi berkata, seramai 792 pesakit Covid-19 pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 5,124 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,141 orang di hospital, manakala seramai 3,914 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, diikuti 63 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara dan enam orang lagi di fasiliti swasta.

Bilangan pesakit dalam ICU pula seramai 157 orang dan 60 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|